MIRI, 17 Ogos – Wacana Khas Keluarga Islam Sarawak 2025 bertemakan “Syariah Asas Keluarga Sejahtera” berlangsung di Dewan Suarah Miri dengan penyertaan lebih 350 peserta daripada pelbagai agensi, NGO, ketua masyarakat, pelajar IPT dan orang ramai.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, yang turut melancarkan Unit Pemantauan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) bagi memastikan perintah Mahkamah Syariah dipantau secara lebih sistematik dan berkesan.
Selain forum dan sesi ilmiah, program turut menyediakan pameran dan perkhidmatan agensi termasuk khidmat nasihat guaman, kaunseling keluarga, pemeriksaan kesihatan asas serta maklumat bantuan kebajikan, memberi peluang masyarakat mendapatkan info dan rujukan secara terus.
Antara pengisian utama ialah sesi kesihatan keluarga oleh LPPKN, bicara ilmiah “Perkahwinan Bukan Sekadar Akad”, forum Wanita & Keadilan Syariah, serta kupasan isu “Lelaki Qawwam & LGBTQ” oleh wakil JAKIM.
Sebagai tambahan, pada malam 16 Ogos turut diadakan forum “Baiti Janati: Realiti atau Ilusi” di Masjid At-Taqwa Miri sebagai pembuka tirai wacana.
Wacana ini menegaskan bahawa Syariah adalah asas pembinaan keluarga sejahtera, di samping menjadi medium perkongsian ilmu dan khidmat langsung kepada masyarakat.
