Berita

 

Sarawak–Indonesia Perkasa Sinergi Kehakiman Syariah dan Transformasi Digital

Disiarkan pada 16 Feb 2026
Sumber Berita: Disediakan oleh Puan Aainaa Shahira binti Rasidi
JAKARTA & BANDUNG | 9–13 Februari 2026 — Delegasi Kerajaan Sarawak yang diketuai oleh Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Junaidi telah mengadakan kunjungan hormat dan lawatan kerja ke Jakarta dan Bandung, Republik Indonesia bagi memperkukuh kerjasama strategik institusi kehakiman Islam serta membincangkan isu perkahwinan lintas batas yang melibatkan warganegara Malaysia dan Indonesia.

Sepanjang lawatan, delegasi telah menghadiri Majlis Laporan Tahunan Mahkamah Agung Republik Indonesia selain mengadakan kunjungan hormat ke Badan Peradilan Agama (Badilag), Pengadilan Tinggi Agama Jakarta dan Bandung, Kementerian Agama Republik Indonesia serta Kantor Wilayah Kementerian Agama Jawa Barat. Siri pertemuan ini membuka ruang perkongsian pengalaman, amalan terbaik serta perbincangan berhubung pengukuhan tadbir urus kehakiman syariah, pengurusan kes kekeluargaan Islam serta kerjasama rentas sempadan yang lebih sistematik.

Delegasi turut meneliti pelaksanaan sistem e-Binwas dan beberapa aplikasi kehakiman berteraskan teknologi digital yang digunakan oleh institusi kehakiman agama di Indonesia. Inisiatif ini dilihat berpotensi dijadikan rujukan dalam usaha memperkasa transformasi digital kehakiman syariah Sarawak melalui pembangunan dan pemantapan Sistem I-Syariah, selaras dengan aspirasi pendigitalan perkhidmatan awam dan peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Lawatan kerja ini turut disertai oleh wakil Majlis Islam Sarawak, Jabatan Agama Islam Sarawak, Jabatan Pendakwaan Syarie Sarawak serta Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. sebagai rakan strategik dalam memperkukuh ekosistem perundangan dan pentadbiran syariah negeri secara menyeluruh.

delegasi

Galeri Gambar