KUCHING, 12 Mac 2026 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) telah mengadakan Program Sinar Jiwa Ramadan: Kasih Dirasa, Sejahtera Selamanya yang menghimpunkan warga kerja jabatan dalam suasana penuh kebersamaan sempena bulan Ramadan bertempat di Bilik Seminar, Tingkat 4, Bangunan Mahkamah Syariah Kuching.
Untuk makluman, Iftar Jamaie anjuran Kelab Kebajikan dan Rekreasi JKSS yang diadakan setiap tahun pada kali ini telah diadakan di Bahagian Kuching dengan kerjasama Unit Psikologi dan Kaunseling serta Unit Komunikasi Korporat (UKK), dan dianjurkan bersama Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) serta Yayasan Kepimpinan Al-Bait melalui penganjuran Program Sinar Jiwa Ramadan ini.
Program tersebut diisi dengan pelbagai pengisian kerohanian dan kebajikan termasuk Khatam Al-Quran, Iftar Jamaie, solat Maghrib berjemaah, solat Isyak dan Tarawih berjemaah, penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf serta jamuan moreh. Penganjuran program ini bertujuan menyemarakkan penghayatan Ramadan di samping mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga jabatan.
Dalam majlis tersebut, seramai 30 orang penerima telah menerima sumbangan berbentuk wang tunai melalui Tabung Sumbang Ramadan Kelab Kebajikan dan Rekreasi JKSS, selain turut menerima Bakul Kasih daripada Tabung Baitulmal Sarawak. Sebahagian besar sumbangan adalah daripada Datin Sri Hajah Ruziah binti Mohd Tahir, isteri kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, serta sumbangan daripada warga kerja JKSS.
Selain itu, warga jabatan juga dialu-alukan untuk menyumbang bagi membantu golongan asnaf melalui Tabung Sumbang Ramadan Kelab Kebajikan dan Rekreasi JKSS, sebagai tanda keprihatinan dan sokongan dalam menjayakan program kebajikan tersebut.
Penganjuran program ini bukan sahaja mengimarahkan Ramadan melalui pengisian kerohanian, malah turut menzahirkan komitmen JKSS dalam memperkukuh nilai kebersamaan serta menyantuni golongan yang memerlukan.
Galeri Gambar