PERTANDINGAN MAHKAMAH MUT SYARIAH, TARIK MINAT PELAJAR CEBURI BIDANG SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG
KUCHING, 27 Oktober: Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, JKSS mengambil inisiatif memberi pendedahan awal berkaitan kerjaya perundangan dan kehakiman syariah kepada golongan muda.
Ia dilakukan menerusi penganjuran Pertandingan Mahkamah Mut Syariah Piala Ketua Hakim Syarie Sarawak, khusus untuk peringkat sekolah menengah agama.
Ketua Hakim Syarie JKSS, Datu Awang Suhaili Ledi berkata, pertandingan sedemikian lazimnya diadakan di peringkat universiti.
Justeru, menerusi inisiatif tersebut, ia diharap mampu menarik minat lebih ramai pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang syariah dan undang-undang.
Dalam pada itu, beliau berharap dapat menarik penyertaan lebih banyak sekolah khususnya dari luar Kuching, sekiranya pertandingan itu diadakan pada masa akan datang.
Datu Awang Suhaili berucap merasmikan penutupan Pertandingan Mahkamah Mut Syariah Piala Ketua Hakim Syarie Sarawak di Kuching hari ini.
Pertandingan yang julung kali diadakan itu, berjaya menarik penyertaan tiga buah sekolah di Kuching.
Sekolah terlibat ialah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, SMKA Sheikh Haji Othman Abdul Wahab, SMKA Matang 2 dan SMKA Tun Ahmad Zaidi.
SMKA Tun Ahmad Zaidi yang dinobatkan juara menerima wang tunai 500-ringgit, piala, sijil penyertaan dan piala pusingan.