Seminar Kefahaman Undang-Undang Keluarga Islam Sarawak 2025
Disiarkan pada 11 Feb 2025
Sumber Berita: Jabatan Penerangan Sarawak
Awang Tengah menyempurnakan Majlis Penangguhan Seminar Kefahaman Undang-Undang Keluarga Islam Sarawak 2025
LAWAS, 9 Feb : Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah menyempurnakan Majlis Penangguhan Seminar Kefahaman Undang-Undang Keluarga Islam Sarawak 2025 di salah sebuah hotel di sini, hari ini.
Program itu merupakan anjuran bersama Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Sarawak dan Pejabat Residen Bahagian Limbang.
Sekitar 300 peserta yang menyertai seminar yang diadakan selama dua hari itu yang terdiri daripada agensi kerajaan Sarawak dan Persekutuan, jawatankuasa masjid dan surau dan badan bukan kerajaan (NGO).
Berucap pada majlis itu Awang Tengah berkata, integriti merupakan nilai utama yang menjadi asas kepada kesejahteraan sosial.
“Dalam konteks undang-undang keluarga Islam telah memberikan panduan jelas tanggungjawab setiap individu melindungi pihak yang lemah, menyelesaikan konflik dengan bijaksana serta pelaksanaan undang-undang yang adil dan saksama seperti yang dianjurkan dalam Islam.
“Undang-undang bukan sahaja berfungsi untuk menegakkan keadilan ,tetapi juga sebagai panduan ke arah masyarakat yang harmoni,” ujarnya.
Menurut Awang Tengah lagi, konsep halal turut memainkan peranan penting dalam kehidupan bukan sahaja dalam aspek makanan, tetapi meliputi semua aspek dalam kehidupan seperti muamalat dan perkahwinan bagi melahirkan generasi yang diberkati serta berakhlak mulia.
Terdahulu Ketua hakim Syarie Sarawak Datu Awang Suhaili Ledi menjelaskan, seminar ini bertujuan untuk memberikan pendedahan yang lebih mendalam kepada masyarakat mengenai undang-undang keluarga Islam.
Ini khususnya dalam konteks perkahwinan, penceraian, hak penjagaan anak dan konsep halal dalam Islam serta tanggungjawab dalam institusi kekeluargaan agar dapat memastikan keadilan dan kesejahteraan umat Islam di Sarawak sentiasa terpelihara.
Turut hadir ialah isteri Timbalan Premier Sarawak Dato Dayang Morliah Awang Daud, Ahli Parlimen P.222 Lawas Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, ketua-ketua jabatan serta ketua masyarkat dan ketua kaum Daerah Lawas.-TAMAT-
Disediakan oleh : Muhamad Asri Dalim (JAPEN Lawas)