News

 

Wacana Khas Wanita dan Keluarga Islam Sarawak

Posted on 21 Apr 2025
Source of News: Ukas Sarawak
1

BINTULU: Isu-isu kekeluargaan Islam terus diberi perhatian apabila Majlis Perasmian Wacana Khas Wanita dan Keluarga Islam Sarawak berlangsung dengan jayanya di Balairaya Kampung Assyakirin Fasa 1 di sini, pada Sabtu

Majlis disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS), Salmah Jobeli, yang mewakili Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Wacana anjuran bersama Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS), JWKS, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini memberi tumpuan kepada peranan wanita dalam keluarga Islam, cabaran institusi kekeluargaan serta peranan sokongan undang-undang Syariah dalam menangani isu semasa.

Dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Salmah Jobeli, Dato Sri Fatimah menegaskan bahawa keluarga merupakan asas kepada masyarakat yang harmoni dan sejahtera, namun turut mengakui bahawa institusi itu kini berdepan pelbagai cabaran termasuk penceraian, perebutan hak jagaan anak, keganasan rumah tangga dan kegagalan pemberian nafkah.

Menurut beliau, pendekatan advokasi melalui wacana seperti ini amat penting bagi memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai fungsi sistem perundangan Syariah, khususnya melalui peranan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah JKSS yang menyediakan khidmat guaman, kaunseling dan bantuan pelaksanaan perintah mahkamah.

“Kolaborasi strategik antara agensi Syariah dan kebajikan ini menjadi contoh terbaik sinergi kerajaan dalam memperjuangkan hak serta kesejahteraan wanita dan keluarga Islam,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh sokongan terhadap wanita melalui pelbagai inisiatif termasuk kaunseling kekeluargaan, latihan kemahiran, pendidikan dan peluang keusahawanan.

Sebagai menyemarakkan semangat kasih sayang dan keprihatinan, majlis turut diselitkan dengan penyampaian sumbangan 100 bakul makanan kepada golongan memerlukan, termasuk 65 penerima daripada Urusetia Saudara Kita, 15 asnaf, dan 20 orang awam.

Majlis turut dihadiri oleh barisan kepimpinan kehakiman dan masyarakat, antaranya Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Yang Amat Arif Dato’ Mohd Amran Mat Zain, Ketua Hakim Syarie Sarawak, Yang Amat Arif Datu Awg Suhaili Ledi, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Noor Hadina Ahmad Zabidi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, serta tetamu jemputan yang lain.- Sumber UKAS