KUCHING: Sarawak mengambil langkah proaktif dalam usaha memperkasakan institusi kehakiman syariah dengan melancarkan sistem pintar I-Syariah yang berfungsi sebagai pusat integrasi sistem maklumat syariah di negeri ini.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sistem berkenaan turut memainkan peranan untuk memperkukuh pelaksanaan e-Kerajaan melalui pemerkasaan akses dalam talian, pengurusan kes secara digital, serta pengurusan data yang bersepadu dan selamat.
Langkah ini seiring dengan kerangka Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030, antara lain menggariskan keperluan untuk memperluas transformasi digital ke semua sektor termasuk pentadbiran undang-undang dan kehakiman syariah.
“Saya menyambut baik inisiatif Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) dalam mewujudkan Sistem I-Syariah, iaitu sebuah platform digital pintar yang dibangunkan hasil usaha bersama dengan Sistem Maklumat Sarawak Sdn. Bhd. (SAINS),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sempena Majlis Perasmian Konvensyen Syariah Kebangsaan Sarawak (KoSKES) 2025 di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, hari ini.
Awang Tengah menyempurnakan majlis perasmian sekali gus disaksikan oleh tetamu kehormat yang lain. Foto: RAMIDI SUBARI
Tambahnya, inisiatif berkenaan bukan sekadar satu transformasi teknikal, malah ia mencerminkan komitmen tinggi JKSS dalam mendukung agenda digitalisasi Kerajaan Sarawak selaras dengan visi perkhidmatan awam bertaraf dunia yang menekankan kecekapan, ketelusan dan penyampaian perkhidmatan awam bertaraf antarabangsa.
“I-Syariah bukan sahaja mempercepat urusan seperti pendaftaran perkahwinan dan pengurusan kes, tetapi turut menjadi jambatan digital yang menghubungkan antara rakyat dengan institusi kehakiman syariah merentas sempadan sama ada di dalam mahupun di luar Malaysia,” ujarnya.
Dalam hal berkaitan, beliau memaklumkan bahawa, kerajaan ingin melihat sistem I-Syariah ini menjadi model dalam penerapan teknologi yang canggih, adil, berintegriti dan holistik.
“Dalam konteks Sarawak dan dunia Islam amnya, keadilan bukan sekadar prinsip, tetapi tuntutan syarak yang mesti dipenuhi dengan penuh hikmah dan integriti — hari ini, tuntutan itu memerlukan kita untuk memanfaatkan AI dan pendigitalan dalam menegakkan keadilan yang lebih cepat, tepat dan berkesan,” jelasnya.
Majlis Perasmian KoSKeS 2025 yang diadakan sempena 70 tahun penubuhan Majlis Islam Sarawak (MIS) menghimpunkan delegasi dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei yang menyaksikan kira-kira 500 peserta.