Pada 12 hingga 14 Ogos 2025, bertempat di Imperial Hotel, Kuching, Bahagian Dasar & Perundangan, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) telah menganjurkan Bengkel Penggubalan Kaedah-Kaedah Undang-Undang Keluarga Islam (Hakam) Di Bawah Pelan Tindakan Majlis Islam Sarawak 2021 - 2030 (Bidang Perundangan Islam) Tahun 2025. Bengkel ini dijalankan adalah bertujuan untuk menggubal draf Kaedah-Kaedah Undang-Undang Keluarga Islam (Hakam), meneliti pelaksanaan Majlis Tahkim di negeri-negeri lain, menambah baik sistem perundangan dan kehakiman syariah di Negeri Sarawak di samping melaksanakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Transformasi JKSS 2021-2030 dan juga Pelan Tindakan Majlis Islam Sarawak (PTMIS) 2021-2030.
Penggubalan kaedah-kaedah ini adalah penting bagi mewujudkan satu struktur pengurusan hakam di mahkamah syariah. Kaedah-kaedah ini adalah selari dengan seksyen 46 Ordinan Undang-undang Keluarga Islam, 2001 yang memperuntukkan penyelesaian kes perceraian melalui hakam. Hakam ialah seorang penimbang tara yang diberi kuasa oleh pihak-pihak atau oleh Mahkamah untuk menyelesaikan perkelahian (
shiqaq) antara suami dan isteri. Hakam berfungsi untuk mendamaikan perpecahan antara suami isteri dan apabila perdamaian tidak dapat dicapai, tuntutan perceraian dapat diselesaikan dengan lebih cepat berbanding kes tuntutan fasakh.
Bengkel ini dipengerusikan oleh Yang Amat Arif Datu Hj Awg Suhaili, Ketua Hakim Syarie Sarawak dan telah disertai oleh Hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah Sarawak (Zon Selatan), Hakim-hakim Mahkamah Rendah Syariah Kuching serta ahli-ahli Bahagian Dasar dan Perundangan, JKSS. JKSS juga telah menjemput wakil-wakil dari Bahagian Kemajuan Keluarga Islam, Jabatan Agama Islam Sarawak, termasuklah Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Ustaz Jamaluddin Bin Taim, bagi meneliti penggubalan peruntukan kaedah-kaedah ini bersama.
Bagi menjayakan bengkel ini, pihak Bahagian Dasar dan Perundangan telah menjemput Tuan Mohd Hairuddin Bin Ab Rahim iaitu Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Klang untuk memberikan perkongsian berkenaan pelaksanaan Majlis Tahkim di Selangor.
Bahagian Dasar dan Perundangan akan menganjurkan bengkel-bengkel yang seterusnya bagi memurnikan draf kaedah-kaedah yang telah diteliti semasa bengkel ini. Adalah diharapkan penggubalan kaedah-kaedah ini akan memudahkan proses pengurusan kes-kes berkenaan tuntutan perceraian di mahkamah syariah.