SARAWAK, 19 Ogos 2025 – Seramai 60 atlet mewakili Kontinjen Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) dalam Multaqa Mahkamah Syariah 2025 yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak dari 20 hingga 23 Ogos 2025.
Daripada jumlah tersebut, 53 atlet berlepas ke Perak, manakala penyertaan bagi acara e-sport telah dilaksanakan lebih awal di stesen masing-masing. Kontinjen ini diketuai oleh Tuan Mohammad Zubair bin Mustafa selaku Ketua Kontinjen.
Kontinjen JKSS mengambil bahagian dalam sembilan acara sukan yang merangkumi bola sepak, badminton, tenpin boling, ping pong, dart, karom, congkak, catur serta e-sport. Selain itu, kontinjen turut terlibat dalam acara perbarisan dan persembahan rasmi yang menjadi sebahagian daripada pengisian multaqa.
Majlis perasmian dijadualkan pada 22 Ogos 2025 di Stadium UPSI, manakala jamuan penutup akan berlangsung pada 23 Ogos 2025 di Dewan Tuanku Canselor. Semoga kontinjen JKSS dapat menampilkan prestasi cemerlang serta membawa pulang kejayaan, di samping memperkukuh ukhuwah dan semangat kesukanan sesama warga kehakiman Syariah seluruh negara.
