Berita

 

LAPORAN KUNJUNGAN HORMAT JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH SARAWAK TERHADAP TYT YANG DI-PERTUA NEGERI SARAWAK

Disiarkan pada 03 Oct 2025
Sumber Berita: Disediakan oleh Tuan Mohd Hazim bin Borhan
Kuching, 2 Oktober 2025 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) yang diketuai oleh Yang Amat Arif Datu Haji Awg Suhaili bin Ledi, Ketua Hakim Syarie Sarawak, telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Astana Negeri Sarawak, Kuching.

Kunjungan yang berlangsung penuh mesra tersebut memberi ruang kepada pihak JKSS untuk mempersembahkan maklumat terkini mengenai perkembangan perundangan dan kehakiman Syariah di Sarawak. Antara inti pati utama yang dibincangkan ialah:

1. Penerangan mengenai Rang Undang-undang (RUU) Profesion Guaman Syarie di Sarawak – YAA Ketua Hakim Syarie telah menjelaskan objektif penggubalan RUU tersebut, termasuk usaha memperkukuh pentadbiran keadilan Syariah, meningkatkan profesionalisme guaman Syarie, serta memastikan perkhidmatan guaman Syariah di negeri ini selaras dengan keperluan masyarakat Islam yang semakin kompleks.

2. Perkembangan perundangan dan kehakiman Syariah di Sarawak – Penjelasan turut diberikan berhubung langkah-langkah pemodenan sistem kehakiman Syariah, termasuk aspek pendigitalan, peningkatan kecekapan pengurusan kes, serta penambahbaikan infrastruktur mahkamah bagi memberi perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan kepada rakyat.

Dalam sesi tersebut, Tun Pehin Sri Yang di-Pertua Negeri Sarawak telah menyatakan penghargaan terhadap usaha yang dilaksanakan oleh JKSS. Beliau turut memberikan beberapa saranan bernas berkaitan dengan penggubalan RUU tersebut, dengan menekankan kepentingan pemerkasaan Mahkamah Syariah di Sarawak supaya seiring dengan pembangunan negeri serta aspirasi masyarakat.

Kunjungan hormat ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara institusi kehakiman Syariah dengan kepimpinan tertinggi negeri, malah memperkukuh sokongan terhadap agenda transformasi keadilan Syariah di Sarawak.

tyt
tyt
tyt
tyt
tyt