Berita

 

Sambutan Hari Integriti JKSS 2025: Memperkukuh Nilai Integriti dalam Perkhidmatan Kehakiman Syariah

Disiarkan pada 06 Oct 2025
Sumber Berita: Disediakan oleh Puan Aainaa Shahira binti Rasidi
KUCHING, 2 Oktober 2025 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) telah mengadakan Sambutan Hari Integriti JKSS 2025 bertempat di Bilik Seminar JKSS, dengan tema “Integriti dalam Penyampaian Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Syariah.”

Majlis dimulakan dengan ketibaan tetamu jemputan diikuti ceramah motivasi bertajuk “Integriti Teras Kemajuan Sarawak: Integriti dalam Penyampaian Perkhidmatan Perundangan dan Kehakiman Syariah” yang disampaikan oleh Yang Berusaha Dr. Shafiee @ Shafie bin Lugom.

Acara diteruskan dengan Lafaz Ikrar Integriti oleh seluruh warga JKSS sebagai simbol komitmen terhadap pelaksanaan tadbir urus yang beretika, telus dan bebas rasuah. Ikrar tersebut menzahirkan iltizam warga jabatan untuk mengamalkan nilai integriti dalam setiap tindakan, menolak sebarang bentuk salah guna kuasa serta menegakkan prinsip akauntabiliti dan keadilan dalam perkhidmatan awam.

Kemudian, majlis diteruskan dengan Amanat Integriti yang disampaikan oleh Yang Amat Arif Datu Haji Awg Suhaili bin Ledi, Ketua Hakim Syarie Sarawak. Dalam amanat beliau, Yang Amat Arif menegaskan bahawa integriti bukan sekadar slogan tetapi kewajipan yang menjadi asas keadilan dan kesejahteraan masyarakat. Beliau menyeru seluruh warga JKSS untuk melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab, memastikan penghakiman bebas daripada pengaruh luar serta mengutamakan kepentingan masyarakat berbanding kepentingan peribadi.

Dalam ucapannya, beliau turut mengaitkan nilai integriti dengan tiga teras utama Post Covid-19 Development Strategy (PCDS) 2030, iaitu:
    1.    Keterangkuman Sosial – memastikan keadilan syariah dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat;
    2.    Transformasi Digital – memperkukuh sistem i-Syariah bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan; dan
    3.    Pembangunan Modal Insan Berintegriti – menambah baik kompetensi serta penghayatan nilai syariah melalui latihan berterusan dan etika kerja Islam.

Majlis disusuli dengan penyampaian cenderamata kepada penceramah jemputan, bacaan doa dan sesi fotografi beramai-ramai sebagai penutup acara.

Dalam penegasan akhirnya, Datu Awg Suhaili menyeru agar Hari Integriti ini menjadi titik muhasabah bagi seluruh warga JKSS untuk terus berpegang kepada prinsip amanah, ketelusan dan keadilan dalam setiap tindakan, serta menjadikan integriti sebagai budaya kerja berterusan dalam memperkukuh keunggulan perkhidmatan kehakiman syariah di Sarawak.

hari integriti
hari integriti
hari integriti
hari integriti

hari integriti