Berita

 

Wakil JKSS Raih Anugerah Best Paper (Malay) Award di ICON IMAD XIV 2025, Brunei Darussalam

Disiarkan pada 08 Oct 2025
Sumber Berita: Disediakan oleh Tuan Muhammad Nuur Iman Suip
BRUNEI DARUSSALAM, 7 Oktober 2025 (Selasa) – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) mencipta satu lagi pencapaian membanggakan apabila dua wakilnya bersama seorang ahli akademik Universiti Malaya menerima Best Paper (Malay) Award dalam The International Conference on Islam in the Malay World (ICON IMAD) XIV 2025 yang berlangsung di Balai Khazanah Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Brunei Darussalam.

Persidangan edisi ke-14 kali ini dianjurkan oleh Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) selaku Pengerusi Persidangan, dan menghimpunkan para sarjana, penyelidik serta penggiat ilmu Islam dari pelbagai institusi serantau dan antarabangsa. Sejak mula diperkenalkan, ICON IMAD diiktiraf sebagai platform akademik utama dalam memperkukuh kefahaman dan peranan Islam di Alam Melayu.

Anugerah Best Paper (Malay) Award diberikan kepada kertas kerja terbaik yang dibentangkan dalam Bahasa Melayu — satu bentuk pengiktirafan terhadap keunggulan karya ilmiah serta usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam wacana keislaman global.

Bagi tahun 2025, anugerah berprestij ini disampaikan kepada Yang Arif Tuan Haji Najarudin Nedri (Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuching), Tuan Muhammad Nuur Iman Suip (Pegawai Syariah Mahkamah Rayuan Syariah Sarawak), dan Prof. Madya Dr. Siti Zubaidah binti Ismail (Pensyarah Kanan, Universiti Malaya) atas pembentangan kertas kerja bertajuk:
“Pemakaian Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – AI) dalam Perundangan Syariah Sarawak: Ke Arah Sistem Kehakiman Islam yang Lebih Efisien dan Berintegriti.”

Kertas ini diiktiraf kerana analisisnya yang tajam serta keselarasan antara inovasi teknologi dan nilai keadilan Islam. Ia meneliti potensi aplikasi kecerdasan buatan dalam memperkukuh keberkesanan, ketelusan dan integriti sistem kehakiman syariah di Sarawak — selaras dengan arus transformasi digital sektor perundangan masa kini.

Penganugerahan ini diharap menjadi inspirasi kepada lebih ramai sarjana dan pegawai kehakiman untuk terus menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi dalam Bahasa Melayu, serta memperkasa sistem perundangan Islam melalui adaptasi teknologi secara beretika, berwawasan, dan berteraskan nilai keadilan sejagat.

bestpaper
bestpaper
bestpaper