KUCHING, 22 Oktober 2025 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) menerima kunjungan seramai 50 orang pelajar dan dua orang guru pengiring, Ustaz Hasibullah bin Roslan dan Ustazah Nur Wa Afiqah binti Saparuddin, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Matang 2 menerusi Program Kembara Ilmu yang diadakan di Ibu Pejabat JKSS.
Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai struktur dan fungsi institusi kehakiman Syariah di Sarawak, di samping memperkukuh kefahaman mereka terhadap sistem perundangan Islam yang dilaksanakan di negeri ini.
Sepanjang program, para pelajar diberi taklimat mengenai peranan Mahkamah Syariah, prosedur kes, serta fungsi Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) dan Unit Sulh di bawah JKSS.Mereka turut diperkenalkan dengan Pertandingan Mahkamah Mut Syariah yang menjadi medium pembelajaran bagi membantu pelajar memahami secara praktikal prosedur mahkamah Syariah.
Program ini dilihat sebagai platform penting untuk memupuk minat generasi muda terhadap bidang kehakiman Syariah, selain mendekatkan mereka dengan fungsi institusi kehakiman Islam di peringkat negeri. JKSS komited untuk terus menyokong usaha pendidikan seumpama ini dalam memperkasa kefahaman undang-undang Syariah dalam kalangan masyarakat.
