News

 

KUNJUNGAN HORMAT KE PENJARA PUSAT SIBU: MENEROKA BEST PRACTICES PENGURUSAN TAHANAN SYARIAH

Posted on 24 Oct 2025
Source of News: Puan Sh. Aisyah Farhanah binti Syed Mohamad
SIBU, 22 Oktober 2025 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) Bahagian Sibu telah mengadakan kunjungan hormat ke Penjara Pusat Sibu bagi meneroka amalan terbaik (best practices) dalam pengurusan tahanan Syariah. Rombongan diketuai oleh Tuan Abdul Rahman bin Mohamad Shokri, Pegawai Bahagian Sokongan Keluarga Zon Tengah yang mewakili Tuan Haji Idris bin Haji Abdul Kadir, Hakim Syarie selaku Ketua Bahagian JKSS Sibu, bersama sembilan (9) orang pegawai JKSS Sibu.

Ketibaan rombongan disambut mesra oleh Pengarah Penjara Pusat Sibu, PP Celestine Jubang Anak Paul, bersama beberapa pegawai kanan penjara. Lawatan ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara JKSS Sibu dan pihak institusi penjara serta meneliti pelaksanaan pengurusan tahanan Syariah dari sudut pelaksanaan, keselamatan, dan penyelarasan.

Sesi dimulakan dengan sesi suai kenal antara kedua-dua agensi, diikuti pembentangan oleh TPP Ku Hakimi bin Ku Halim, Ketua Bahagian Keselamatan dan Korektif. Beliau berkongsi peranan, struktur dan tatacara operasi Penjara Pusat Sibu dalam menguruskan tahanan, termasuk aspek keselamatan dan pemulihan. Perkongsian ini memberi pencerahan kepada pihak JKSS Sibu dalam memahami secara menyeluruh mekanisme pengurusan tahanan Syariah di peringkat Bahagian.

Kunjungan turut memberi ruang kepada sesi perbincangan dua hala berkaitan isu bersama melibatkan tahanan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Antara topik yang turut disentuh ialah pelaksanaan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) yang diamalkan di Sibu menurut prosedur Mahkamah Sivil, sebagai rujukan berguna untuk potensi pelaksanaan di Mahkamah Syariah pada masa akan datang.

Secara keseluruhannya, lawatan ini dilihat berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dan menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama antara agensi. Diharapkan jalinan ini akan terus diperkasa bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan tugas kehakiman serta penguatkuasaan undang-undang Syariah di negeri ini.

penjara

penjara

penjara

penjara