KUALA LUMPUR, 25 Oktober 2025 – Majlis Islam Sarawak (MIS) telah dijemput untuk menyertai Pameran Lan Berambeh Anak Sarawak 2025 (LBAS 2025) yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.
Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) turut menyertai pameran tersebut di bawah penyertaan Majlis Islam Sarawak bersama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Darul Hana Quranic Centre (DHQ) dan Jabatan Mufti Sarawak (JMS).
LBAS 2025 yang bertemakan “Prosperity Through Unity in Diversity” merupakan acara tahunan anjuran Kerajaan Negeri Sarawak yang menghimpunkan ribuan anak Sarawak dari seluruh Semenanjung Malaysia, khususnya golongan pelajar universiti serta komuniti Sarawak di perantauan. Program ini menjadi platform memperkukuh semangat perpaduan, mempererat silaturahim serta menonjolkan pelbagai inisiatif pembangunan dan pentadbiran negeri kepada masyarakat Sarawak di luar negeri.
Dalam penyertaan kali ini, JKSS menonjolkan usaha transformasi digital jabatan melalui pengenalan Sistem i-Syariah sebagai sebahagian daripada inisiatif pendigitalan perkhidmatan kehakiman Syariah di negeri Sarawak. Pameran ini turut memaparkan peranan JKSS dalam memperkukuh sistem pentadbiran kehakiman Syariah serta meningkatkan kecekapan dan ketelusan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Penyertaan bersama MIS, JAIS, DHQ dan JMS turut memperlihatkan komitmen berterusan agensi-agensi Islam negeri dalam memperkukuh penyampaian maklumat serta memperluas kefahaman masyarakat terhadap peranan institusi Islam di Sarawak. Secara keseluruhannya, penglibatan ini juga memperkukuh hubungan strategik antara agensi-agensi Islam negeri serta memperluas capaian maklumat kepada masyarakat Sarawak di luar negeri, selaras dengan aspirasi pendigitalan perkhidmatan awam Kerajaan Negeri Sarawak.
 
 
 
