KUCHING, 17–18 November 2025 – Naziran Keselamatan ICT JKSM Siri 1/2025 telah dilaksanakan oleh Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK), JKSM di Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS). Pelaksanaan ini merupakan usaha berterusan bagi memastikan tahap keselamatan ICT di jabatan berada pada tahap optimum dan selaras dengan piawaian semasa.
Naziran selama dua hari ini memberi tumpuan kepada aspek-aspek kritikal keselamatan ICT, termasuk pemeriksaan rangkaian, pengurusan aset ICT, kawalan dokumen, keselamatan sistem aplikasi, kepatuhan penggunaan oleh warga jabatan serta pemeriksaan keselamatan bilik pelayan di JKSS dan MTS/MRS. Pendekatan komprehensif ini bertujuan menilai tahap pematuhan serta keberkesanan langkah kawalan yang sedang dilaksanakan.
Hasil naziran mendapati JKSS mencapai pematuhan penuh terhadap kriteria keselamatan yang ditetapkan. Tahap keselamatan ICT jabatan berada pada keadaan yang stabil dan terpelihara, mencerminkan komitmen pengurusan serta warga kerja dalam memastikan sistem ICT sentiasa selamat, berdaya tahan dan bersedia menghadapi sebarang ancaman.
Pelaksanaan naziran ini turut mengukuhkan keyakinan bahawa JKSS berada di landasan yang tepat dalam melaksanakan transformasi digital yang selamat dan mampan, seiring keperluan pentadbiran kehakiman Syariah masa kini.
