Berita

 

Kursus Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) JKSS 2025

Disiarkan pada 27 Nov 2025
Sumber Berita: Disediakan oleh Puan Aainaa Shahira binti Rasidi
KUCHING, 25 November 2025 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) melalui Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), dengan kerjasama Unit Latihan JKSS, telah melaksanakan Kursus Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah Seksyen BSK Tahun 2025 bertempat di UCSI Hotel, Kuching. Kursus ini menampilkan Tuan Mohd Ridzwan bin Ghazali, Pengarah Bahagian Dasar & Penyelidikan JKSM, sebagai penceramah jemputan yang menghuraikan kefahaman undang-undang, prosedur serta amalan terbaik berkaitan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah di Mahkamah Syariah.

Program dimulakan dengan Taklimat Bahagian Sokongan Keluarga yang disampaikan oleh Puan Aainaa Shahira binti Rasidi, Pegawai BSK JKSS, yang memberikan penerangan menyeluruh mengenai fungsi, peranan dan hala tuju BSK dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan perintah nafkah. Kursus ini turut menghimpunkan peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan BSK, Hakim Syarie, serta wakil Pembantu Syariah daripada Mahkamah Syariah di bahagian seluruh Sarawak, menjadikannya platform penting untuk menyelaras pemahaman serta amalan berkaitan pelaksanaan perintah di peringkat negeri.

Sepanjang sesi latihan, peserta diberikan pendedahan komprehensif mengenai penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah melalui mekanisme seperti hiwalah, saman penghutang penghakiman (SPP), sitaan dan jualan, serta pengkomitan. Perbincangan teori, tatacara pelaksanaan dan contoh kes sebenar membantu meningkatkan pemahaman praktikal peserta terhadap tindakan yang boleh diambil dalam memastikan setiap perintah mahkamah dipatuhi.

Kursus ini merangkumi 6 jam 30 minit latihan dan dirangka khusus untuk meningkatkan kecekapan pegawai dalam menguruskan proses penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah secara teratur, berintegriti dan konsisten di seluruh Sarawak. Pelaksanaan kursus ini mengukuhkan lagi komitmen JKSS dalam memastikan setiap perintah mahkamah dilaksanakan dengan lebih efisien, berkesan dan menjaga hak serta kebajikan pihak-pihak yang terlibat.

bsk

bsk

bsk

bsk

bsk