KUCHING, 26 November 2025 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Sarawak telah melaksanakan Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Sarawak Tahun 2025 di Bilik Seminar, Ibu Pejabat JKSS sebagai pengiktirafan rasmi kepada 11 orang Peguam Syarie baharu. Majlis ini disempurnakan oleh Yang Amat Arif Datu Haji Awg Suhaili bin Ledi, Ketua Hakim Syarie Sarawak.
Dalam ucapan beliau, Ketua Hakim Syarie menegaskan kepentingan integriti, profesionalisme dan komitmen tinggi dalam profesion guaman syarie, khususnya sebagai rakan strategik yang membantu Mahkamah Syariah mencapai keadilan yang tuntas. Kerjasama erat antara JKSS dan Persatuan Peguam Syarie Sarawak turut memperkukuh jaringan profesional serta pemerkasaan ekosistem guaman syarie di negeri ini.
Pentauliahan ini menjadikan jumlah Peguam Syarie berdaftar di Sarawak meningkat kepada 150 orang, sekali gus memperluas akses masyarakat kepada khidmat guaman syarie dan menyokong kelancaran prosiding di Mahkamah Syariah. Penambahan ini memberi manfaat langsung kepada masyarakat melalui penyediaan perkhidmatan yang lebih responsif dan berkualiti di seluruh Sarawak.
Majlis diakhiri dengan sesi fotografi dan pertemuan ringkas bersama para peguam syarie baharu, menandakan komitmen berterusan JKSS dalam membimbing dan menyokong generasi pengamal undang-undang syarie yang akan meneruskan amanah kehakiman di negeri ini.