Majlis Penyerahan Sumbangan Wang Zakat Wakalah Amanahraya & Bantuan Dana BSK 2025 Ringankan Beban Keluarga Terlibat Prosiding Nafkah
Disiarkan pada 02 Dec 2025
Sumber Berita: Disediakan oleh Puan Aainaa Shahira binti Rasidi
KUCHING, 1 Disember 2025 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) telah melaksanakan Majlis Penyerahan Sumbangan Wang Zakat Wakalah Yayasan Amanahraya dan Penyerahan Bantuan Dana Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) 2025 bertempat di Bilik Seminar, Ibu Pejabat JKSS bagi menyalurkan bantuan kewangan kepada penerima yang layak.
Program ini bertujuan menyampaikan sumbangan zakat wakalah Amanahraya kepada 12 penerima yang dikenal pasti serta menyalurkan bantuan dana BSK kepada 6 penerima yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Akaun Amanah BSK. Agihan ini memberi tumpuan kepada mereka yang sedang melalui prosiding pelaksanaan dan penguatkuasaan perintah nafkah, khususnya ibu tunggal dan keluarga yang berdepan kekangan kewangan.
Majlis ini turut menzahirkan komitmen berterusan JKSS dalam memperkukuh jaringan perlindungan sosial melalui pengurusan zakat wakalah dan bantuan berstruktur yang mematuhi syarat asnaf serta selaras dengan prinsip keadilan dan ihsan. Kerjasama bersama Majlis Islam Sarawak, Yayasan Amanahraya dan JKSM memperkukuh usaha memastikan hak nafkah dapat dipertahankan dan kebajikan keluarga terus terpelihara.