News

 

Reformasi Kehakiman Syariah Melalui Hakam: JKSS Timba Amalan Terbaik dari Tiga Negeri

Posted on 05 Dec 2025
Source of News: Nur Syuhadah Dahlia Binti Nen @ Shahinan
KUALA LUMPUR–SELANGOR–NEGERI SEMBILAN, 4–5 Disember 2025 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) telah melaksanakan Lawatan Penanda Aras Penggubalan Kaedah-Kaedah Undang-Undang Keluarga Islam (Hakam) ke tiga jabatan kehakiman syariah, iaitu Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan. Inisiatif ini dilaksanakan di bawah Pelan Tindakan Majlis Islam Sarawak 2021–2030 (Bidang Perundangan Islam) bagi meneliti amalan terbaik berkaitan pelaksanaan dan pengurusan hakam di negeri-negeri berkenaan.

Lawatan ini diketuai oleh Yang Amat Arif Datu Haji Awg Suhaili bin Ledi, Ketua Hakim Syarie Sarawak, bersama Yang Arif Tuan Haji Najaruddin bin Nedri, Yang Arif Tuan Mahiden bin Sah, serta pegawai-pegawai JKSS termasuk Puan Noor Rafidah binti Ali, Tuan Suhardi bin Bujang, Puan Nur Syuhadah Dahlia binti Nen @ Shahinan, Tuan Mohd Hazim bin Borhan dan Tuan Mohammad Zubair bin Mustafa. Turut serta ialah delegasi dari Bahagian Kemajuan Keluarga Islam, Jabatan Agama Islam Sarawak yang diketuai oleh Ustaz Jamaludin bin Taim.

Sepanjang dua hari lawatan, delegasi telah meneliti cabaran pelaksanaan hakam, prosedur yang diamalkan, serta kaedah pentadbiran yang diguna pakai di setiap negeri. Perbincangan yang diadakan memberi gambaran holistik mengenai keperluan penyelarasan prosedur dan standard pelaksanaan hakam, khususnya dalam konteks pengurusan kes kekeluargaan.

Dapatan daripada lawatan ini akan menjadi asas kepada pemurnian draf Kaedah-Kaedah Undang-Undang Keluarga Islam (Hakam) Negeri Sarawak yang sedang disemak oleh Bahagian Dasar dan Perundangan, JKSS. Selain itu, hasil lawatan turut menyokong usaha jabatan untuk memperkukuhkan ekosistem pengurusan hakam melalui pembangunan manual kerja yang seragam, pewujudan modul latihan khas serta integrasi pengurusan hakam secara digital melalui sistem i-Syariah.

Lawatan penanda aras ini mencerminkan komitmen berterusan JKSS dalam memperkukuh institusi kehakiman syariah dan meningkatkan keberkesanan penyelesaian kes kekeluargaan Islam melalui mekanisme hakam yang lebih efisien, teratur dan telus. Ia turut mengukuhkan hubungan strategik antara JKSS dan jabatan kehakiman syariah di negeri-negeri lain sebagai usaha penambahbaikan berterusan selaras dengan reformasi kehakiman syariah di Malaysia.

lawatan

lawatan

lawatan

lawatan

lawatan

lawatan