SIBU, 5 Disember 2025 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) Bahagian Sibu telah melaksanakan Majlis Apresiasi Tahunan 2025 bertemakan “Back to School” bertempat di RH Hotel Sibu dengan kehadiran seramai 25 warga kerja.
Tema ini dipilih sebagai simbolik penghargaan terhadap asas pendidikan yang membentuk jati diri, disiplin dan pemikiran warga kerja sehingga mampu menyumbang secara profesional dalam perkhidmatan kehakiman syariah hari ini. Turut memeriahkan majlis, semua kakitangan hadir dengan seragam sekolah—dari tadika hingga sekolah menengah—bagi menghidupkan kembali suasana dan semangat zaman persekolahan.
Ketua Bahagian JKSS Sibu, Tuan Haji Idris bin Haji Abdul Kadir dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja atas komitmen tinggi mereka dalam memastikan kelancaran pengurusan kes dan operasi harian JKSS Sibu. Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan bahagian ini disokong oleh kesungguhan kakitangan yang bukan sahaja melaksanakan tugas hakiki, malah turut mendukung pelaksanaan program jabatan selaras aspirasi Ketua Hakim Syarie Sarawak, YAA Datu Haji Awang Suhaili bin Ledi serta hala tuju kerajaan negeri.
Majlis ini juga menjadi platform untuk mempererat silaturahim dan memantapkan kerja berpasukan agar tugasan dapat diselesaikan dengan lebih cekap, seiring komitmen menjadikan visi dan misi jabatan suatu realiti dalam setiap tindakan warga kerja JKSS Sibu.
Tuan Haji Idris mengakhiri ucapannya dengan berharap agar warga kerja JKSS Sibu terus konsisten, berintegriti dan cemerlang dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan demi memartabatkan perkhidmatan Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak.
