KUCHING, 19 Disember 2025 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) telah menganjurkan Majlis Kesyukuran JKSS 2025 dengan Yang Berbahagia Datuk Haji Misnu bin Haji Taha, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (YDP MIS) sebagai Tetamu Kehormat, bertempat di Bilik Seminar, Tingkat 4, Ibu Pejabat JKSS.
Majlis ini disertai oleh warga kerja JKSS Ibu Pejabat dan Kuching secara bersemuka, manakala warga kerja JKSS di seluruh Sarawak turut menyertai secara dalam talian. Majlis dimulakan dengan Bacaan Surah Yasin dan diakhiri dengan Doa Kesyukuran dan Selamat sebagai atur cara utama, sebagai tanda kesyukuran atas pencapaian jabatan serta kelancaran pelaksanaan amanah sepanjang tahun 2025.
Dalam amanatnya, Yang Berbahagia Datuk Haji Misnu bin Haji Taha menzahirkan penghargaan atas komitmen dan dedikasi seluruh warga kerja JKSS serta berkongsi hala tuju agensi-agensi Islam agar terus diperkukuh sebagai institusi yang berwibawa, berintegriti dan diyakini masyarakat, selaras dengan tuntutan semasa dan perkembangan perundangan Islam di Sarawak.
Penganjuran majlis ini bertujuan mengukuhkan semangat kebersamaan, menghargai komitmen warga kerja di semua bahagian serta memohon keberkatan agar JKSS terus cemerlang dan berintegriti dalam melaksanakan tanggungjawab kehakiman syariah di Sarawak.