KUCHING, 12 Januari 2026 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) hari ini telah menerima lawatan akademik daripada Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) bertempat di Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak bermula jam 9.00 pagi.
Lawatan ini melibatkan penyertaan empat (4) orang pelajar Program Diploma Tahfiz dan Qiraat (Semester 4) yang diketuai oleh pensyarah pengiring, Encik Ahmad Ezzudin bin Mohamad. Lawatan ini diadakan bagi memenuhi keperluan kursus Kekeluargaan Islam (MPU2312) serta memberi pendedahan langsung kepada pelajar berkaitan penyelesaian konflik kekeluargaan melalui pendekatan runding cara dan sulh di Mahkamah Syariah .
Majlis lawatan telah dipengerusikan oleh Tuan Mohd Sufi bin Mohd Rani, Penolong Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) JKSS. Program diteruskan dengan sesi pembentangan mengenai Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak yang disampaikan oleh Tuan Mohd Hazim bin Borhan, Pegawai Penyelidik Ketua Hakim Syarie (KHS).
Para pelajar seterusnya mengikuti sesi pembentangan mengenai Sulh dan simulasi Majlis Sulh yang dikendalikan oleh Puan Nurul Ramizah binti Abdul Rasit, Pegawai Sulh JKSS. Sesi ini memberi pendedahan praktikal kepada pelajar mengenai pelaksanaan proses sulh sebagai mekanisme penyelesaian pertikaian secara damai dalam sistem perundangan syariah.
JKSS menyambut baik lawatan akademik ini sebagai medium perkongsian ilmu dan pendedahan awal kepada pelajar institusi pengajian Islam, selaras dengan peranan JKSS dalam memperkukuh kefahaman generasi pelapis terhadap sistem kehakiman syariah di Sarawak.
