KUCHING, 15 Januari 2026 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) telah menerima kunjungan pihak Rakan Sarawak bagi sesi temu bual khas bersama YAA Datu Awg Suhaili bin Ledi, susulan kejayaan JKSS meraih Anugerah Emas Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (AKPANS) 2025.
Sesi temu bual tersebut telah berlangsung di Bilik Mesyuarat JKSS, Ibu Pejabat dan bertujuan mendokumentasikan amalan terbaik, inisiatif penambahbaikan perkhidmatan serta impak pelaksanaan strategi pengurusan kualiti yang telah dilaksanakan oleh JKSS sehingga membuahkan pengiktirafan tertinggi dalam AKPANS 2025.
Dalam sesi berkenaan, YAA Datu Awg Suhaili bin Ledi menegaskan bahawa kejayaan ini bukan bersifat individu, sebaliknya hasil komitmen menyeluruh seluruh warga JKSS yang konsisten menekankan aspek tadbir urus berintegriti, kecekapan penyampaian perkhidmatan serta pematuhan kepada prinsip keadilan syariah. Pendekatan penambahbaikan berterusan, pemantauan prestasi yang berfokus dan budaya kerja berpasukan dikenal pasti sebagai faktor utama kejayaan.
Beliau turut berkongsi bahawa pengiktirafan AKPANS 2025 menjadi pemangkin kepada JKSS untuk terus memperkukuh sistem kerja sedia ada, meningkatkan keupayaan organisasi dan memastikan inisiatif penambahbaikan yang dilaksanakan kekal mampan serta memberi manfaat langsung kepada masyarakat.
Sesi temu bual ini dijangka menjadi rujukan penting kepada jabatan dan agensi lain dalam usaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam, khususnya dalam konteks pengurusan institusi kehakiman syariah di Sarawak.
