KUCHING | 22 JANUARI 2026 — Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) telah menganjurkan Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak 2026 (OSLYS’26) bertempat di Hotel Raia dan Pusat Konvensyen Kuching.
Penganjuran OSLYS’26 merupakan kesinambungan acara tahunan yang dimulakan sejak tahun 2025 selaras dengan usaha memperkukuh institusi kehakiman syariah di Sarawak. Program ini menjadi simbol rasmi permulaan tahun perundangan baharu serta berfungsi sebagai platform berterusan bagi perbincangan, perkongsian pandangan dan penyelarasan hala tuju dalam kalangan badan kehakiman, profesion undang-undang dan pihak berkepentingan.
OSLYS’26 telah dilaksanakan dengan mengangkat tema “Memperkasa Kebebasan Badan Kehakiman dan Perundangan Syariah”, yang mencerminkan komitmen berterusan terhadap pengukuhan kebebasan institusi kehakiman syariah, tadbir urus berintegriti serta pelaksanaan undang-undang yang adil dan berwibawa.
OSLYS’26 merangkumi tiga program utama iaitu Persidangan Mahkamah Syariah Terbuka, Syarahan Perdana, serta Majlis Makan Malam bersempena OSLYS 2026.
Persidangan Mahkamah Syariah Terbuka dimulakan dengan perarakan masuk hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah negeri-negeri serta Hakim Mahkamah Rayuan Syariah. Persidangan ini disusuli dengan ucapan oleh wakil Persatuan Peguam Syarie Sarawak, Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Sarawak, Peguam Besar Negeri Sarawak dan seterusnya ucapan utama oleh Yang Amat Arif Datu Haji Awg Suhaili bin Ledi, Ketua Hakim Syarie Sarawak.
Syarahan Perdana telah disampaikan oleh Yang Berhormat Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Asfia bin Awang Nasar, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, serta dihadiri oleh ketua-ketua jabatan.
Majlis Makan Malam bersempena OSLYS’26 telah diserikan dengan keberangkatan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar bersama Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd Sanusi. Turut hadir ialah Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak, serta barisan Menteri-menteri dan Timbalan Menteri Sarawak. Majlis ini turut menyaksikan pelancaran Jurnal Mahkamah Syariah, tayangan video rangkuman OSLYS’26 serta penyampaian cenderahati penghargaan kepada mantan panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Sarawak.
OSLYS’26 juga dihadiri oleh Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Ketua-ketua Hakim Syarie dari seluruh Malaysia, Hakim-hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah Syariah, Pegawai Syariah, wakil Jabatan Pendakwaan Syariah Sarawak, Peguam Kanan Negeri Sarawak, Persatuan Peguam Syarie Sarawak, pengamal undang-undang serta para tetamu jemputan.
#SyariahAsasKeadilan
#MemperkasaKebebasanBadanKehakimanDanPerundanganSyariah
