SIBU | 19–23 Januari 2026 — Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) telah membuka kaunter perkhidmatan bagi memberi penerangan dan khidmat nasihat berkenaan hukum faraid serta urusan pewarisan harta pusaka sempena Sesi Inkuiri Projek Pembangunan Semula Kampung Datu Batch 4 yang berlangsung di Jabatan Tanah dan Survei, Bahagian Sibu.
Sesi inkuiri ini dianjurkan oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak dan melibatkan lot-lot tanah yang berkeluasan melebihi enam (6) poin, dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan utiliti bagi memastikan penyelarasan menyeluruh berkaitan pelaksanaan projek pembangunan semula kawasan tersebut.
Sepanjang sesi berkenaan, pegawai JKSS telah ditempatkan di kaunter khas bagi memberi penerangan kepada penduduk Islam yang terlibat, khususnya berkaitan pembahagian harta pusaka mengikut hukum syarak, proses pewarisan serta kepentingan pengurusan harta pusaka yang teratur dan sah di sisi undang-undang syariah.
Pembukaan kaunter ini bertujuan membantu masyarakat memahami implikasi perundangan syariah yang berkaitan dengan pemilikan dan pewarisan harta pusaka, terutamanya dalam situasi pembangunan semula yang melibatkan perubahan status tanah dan pemilik.
Penglibatan JKSS dalam sesi inkuiri ini mencerminkan komitmen jabatan dalam menyokong inisiatif pembangunan negeri di samping memastikan kepentingan masyarakat Islam terus terpelihara selaras dengan prinsip keadilan dan ketetapan hukum syarak.
