Berita

 

Majlis Amanat Ketua Hakim Syarie JKSS Gariskan Halatuju Jabatan

Disiarkan pada 30 Jan 2026
Sumber Berita: Disediakan oleh Puan Aainaa Shahira binti Rasidi
KUCHING | 30 JANUARI 2026 — Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) telah menganjurkan Majlis Amanat Ketua Hakim Syarie pada 30 Januari 2026 bersamaan 11 Syaaban 1447H bertempat di Bilik Seminar, Tingkat 4, Ibu Pejabat JKSS.

Majlis yang bermula pada jam 8.00 pagi ini disertai oleh seluruh warga kerja JKSS secara fizikal dan dalam talian melalui platform Zoom. Program dimulakan dengan Bacaan Yasin sebelum diteruskan dengan amanat Ketua Hakim Syarie.

Dalam amanat tersebut, Ketua Hakim Syarie merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh warga kerja JKSS atas komitmen serta pencapaian jabatan sepanjang tahun lalu. Beliau menegaskan bahawa setiap tanggungjawab yang dipikul merupakan satu amanah yang menuntut tahap profesionalisme, integriti serta komitmen yang tinggi daripada semua warga kerja.

Beliau turut memaklumkan bahawa tahun 2025 menyaksikan pelbagai inisiatif dan pelancaran strategik telah dilaksanakan, termasuk sistem i-Syariah, sebagai langkah memperkukuh penyampaian perkhidmatan kehakiman syariah. Sehubungan itu, tahun 2026 digariskan sebagai fasa pelaksanaan dan pemantapan terhadap inisiatif-inisiatif yang telah dilancarkan bagi memastikan keberkesanannya dapat direalisasikan secara menyeluruh dan berimpak.

Penganjuran majlis ini bertujuan menyelaraskan halatuju jabatan, memperkukuh nilai kebersamaan serta memantapkan budaya amanah dan komitmen dalam kalangan warga JKSS dalam mendepani tanggungjawab dan cabaran semasa.

JKSS merakamkan penghargaan atas kerjasama dan kehadiran semua pihak yang telah menjayakan penganjuran majlis ini.

amanat

amanat