KUCHING | 2 FEBRUARI 2026 — Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) telah menganjurkan Taklimat Pelan Tindakan Bencana Rekod (PTBR) pada 2 Februari 2026 bertempat di Bilik Mesyuarat, Aras 4, Bangunan Mahkamah Syariah, Kuching. Taklimat ini dilaksanakan secara fizikal dan hibrid dengan penyertaan warga JKSS dari seluruh Sarawak.
Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Afham Jauhari bin Aldi, Pengarah Negeri, Arkib Negara Malaysia, dan bertujuan meningkatkan tahap kesediaan jabatan dalam pengurusan serta perlindungan rekod penting sekiranya berlaku bencana, di samping memastikan kesinambungan operasi dan pematuhan terhadap keperluan pengurusan rekod yang sistematik dan berintegriti.
Sepanjang sesi, para peserta diberi pendedahan berkaitan prosedur dan tindakan kecemasan melibatkan rekod jabatan, termasuk peranan dan tanggungjawab pegawai serta mekanisme pelaksanaan yang selaras dengan Pelan Tindakan Bencana Rekod yang ditetapkan.
Penganjuran taklimat ini mencerminkan komitmen JKSS dalam memastikan rekod jabatan sentiasa terpelihara dan pengurusan organisasi berada pada tahap kesiapsiagaan yang optimum, sejajar dengan usaha mempertingkatkan tadbir urus dan kecekapan pengurusan jabatan.
