KUCHING | 4–5 Februari 2026 — Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) telah menganjurkan Kursus Sijil Eksekutif Istinbat Hukum dalam Penghakiman Syarie (KIPSYA) Siri 1 dan 2 Tahun 2026 pada 4 hingga 5 Februari 2026 bertempat di Bilik Seminar, Ibu Pejabat JKSS.
Penganjuran kursus ini bertujuan meningkatkan kompetensi pegawai dalam bidang istinbat hukum bagi menyokong penghasilan alasan penghakiman yang lebih mantap, sistematik dan berautoriti selaras dengan perkembangan semasa perundangan Syariah.
Antara objektif utama kursus adalah menyediakan pelapis serta rakan rujuk dalam bidang syarak, di samping membentuk tenaga pakar dalam disiplin istinbat hukum khususnya dalam penyediaan Alasan Penghakiman. Kursus ini turut memberi penekanan kepada penguasaan ilmu Usul Fiqh dari aspek kaedah dan teknik, termasuk kefahaman konteks isu semasa dengan merujuk kepada kaedah-kaedah Fiqh (al-Qawaid al-Fiqhiyyah) sebagai panduan dalam proses membuat keputusan kehakiman.
Melalui penganjuran kursus ini, JKSS terus komited memperkasa keupayaan sumber manusia serta meningkatkan kualiti penghakiman Syariah demi memastikan penyampaian keadilan yang berkesan dan berintegriti.
