Berita

 

Tauliah Istikhlaf Wali Hakim Sarawak 2026 Disempurnakan oleh Ketua Hakim Syarie di Mukah

Disiarkan pada 06 Feb 2026
Sumber Berita: Disediakan oleh Puan Aainaa Shahira binti Rasidi
MUKAH | 6 Februari 2026 — Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) telah melaksanakan penyampaian Sijil Tauliah Istikhlaf Wali Hakim Sarawak Tahun 2026 bertempat di Dewan Bicara, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak Bahagian Mukah. Penyampaian tauliah ini disempurnakan oleh Yang Amat Arif Datu Haji Awg Suhaili bin Ledi, Ketua Hakim Syarie Sarawak sebagai tanda pengiktirafan rasmi kepada penerima lantikan yang diberikan amanah melaksanakan tanggungjawab berkaitan perwalian dalam pernikahan.

Majlis ini bertujuan mengiktiraf dan meraikan penerima lantikan Istikhlaf Wali Hakim serta menyempurnakan simbolik penyerahan sijil lantikan oleh Ketua Hakim Syarie, di samping memberi penerangan ringkas mengenai peranan dan tanggungjawab pelaksanaan Istikhlaf Wali Hakim sebagaimana diperuntukkan dalam Ordinan.

Program dimulakan dengan sesi taklimat berkaitan peranan Istikhlaf Wali Hakim, diikuti ucapan oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie Sarawak sebelum diteruskan dengan penyampaian sijil tauliah kepada para penerima lantikan.

Seramai tujuh penerima telah menerima Sijil Tauliah Istikhlaf Wali Hakim iaitu Ustaz Sazali Anis, Ustaz Abdul Syukur bin Nasir, Sulhi bin Mahzdar, Yahya bin Imam Salleh, Naidi bin Saibi, Latiff bin Bolhassan dan Iskandar Zulkifli.

Penyampaian tauliah ini mencerminkan komitmen berterusan JKSS dalam memperkukuh tadbir urus perkahwinan Islam di Sarawak agar pelaksanaannya lebih tersusun, berautoriti dan selaras dengan peruntukan undang-undang.

Tauliah

Tauliah

Tauliah