80 Peserta Sertai Gotong-Royong Bersihkan Tanah Perkuburan Islam Tab Cinaq Pujut 5 Anjuran JKSS Bahagian Miri Menjelang Ramadan
Posted on 16 Feb 2026
Source of News: Disediakan oleh Puan Aainaa Shahira binti Rasidi
MIRI | 15 Februari 2026 — Seramai 80 peserta terdiri daripada kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) Bahagian Miri bersama ahli qariah Kampung Pujut 5 telah menyertai Program Khidmat Masyarakat Gotong-Royong Membersihkan Kawasan Tanah Perkuburan Islam Tab Cinaq Pujut 5 yang dianjurkan menjelang ketibaan bulan Ramadan. Program bermula seawal jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi dan dilaksanakan sebagai usaha memelihara kebersihan serta menghormati kawasan perkuburan umat Islam .
Program dimulakan dengan Majlis Tahlil sebelum para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan kawasan perkuburan, termasuk membersihkan laluan, mengemas kawasan sekitar kubur dan menguruskan sisa buangan. Aktiviti ini bukan sekadar menceriakan persekitaran, malah menggalakkan semangat bekerjasama serta mengeratkan hubungan antara warga JKSS dan komuniti setempat .
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen JKSS Bahagian Miri dalam melaksanakan tanggungjawab sosial serta memupuk nilai keprihatinan terhadap kebersihan dan kesejahteraan masyarakat, khususnya menjelang bulan Ramadan yang menuntut persiapan rohani dan fizikal. Program diakhiri dengan jamuan ringan sebagai tanda penghargaan kepada semua peserta yang terlibat