News

 

Ketua Unit Integriti JKSS Hadiri Mesyuarat Ketua Unit Integriti Sarawak Bil.1/2026 di Kuching

Posted on 25 Feb 2026
Source of News: Disediakan oleh: Encik Hafizuddin bin Saili
KUCHING, 24 Februari 2026 – Seramai 80 orang Ketua Unit Integriti (KUI) agensi seluruh Sarawak menghadiri Mesyuarat Ketua Unit Integriti Agensi Sarawak Bilangan 1 Tahun 2026 yang berlangsung di Imperial Hotel, Kuching, hari ini.

Mesyuarat tersebut disempurnakan dengan amanat oleh YB Dato’ Murshid DiRaja Datuk Dr. Juanda Jaya, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman). Dalam ucapannya, pendekatan 3R iaitu Revisit, Rethink dan Recharge yang diperkenalkan oleh YB Datuk Amar Setiausaha Kerajaan Sarawak diketengahkan sebagai asas budaya penambahbaikan berterusan dalam perkhidmatan awam.

Pendekatan tersebut menuntut setiap Unit Integriti menilai semula dasar dan proses kerja sedia ada, berfikir secara kritikal dan strategik terhadap kaedah pelaksanaan, serta memperbaharui komitmen dalam memastikan setiap tindakan berteraskan integriti dan memberi nilai tambah kepada organisasi. Usaha ini penting bagi memastikan agenda integriti tidak dilaksanakan secara rutin semata-mata, sebaliknya memberi impak yang jelas dan terukur.

Mesyuarat ini turut menekankan kepentingan penyelarasan strategik antara semua Unit Integriti supaya pelaksanaan inisiatif bergerak dalam kerangka dasar yang selaras dan konsisten. Tanpa penyelarasan yang jelas, pelaksanaan agenda integriti berisiko dilaksanakan secara berasingan dan tidak mencapai impak menyeluruh di peringkat perkhidmatan awam.
Dalam persekitaran pentadbiran yang semakin kompleks, keperluan meningkatkan tahap ketelusan turut diberi perhatian, khususnya dalam pelaksanaan projek pembangunan, transformasi digital serta pengurusan peruntukan kepada komuniti. 

Unit Integriti disaran memperkukuh pemantauan melalui audit pematuhan, analisis risiko dan pelaporan berkala kepada pengurusan tertinggi. Isu seperti konflik kepentingan, kelewatan projek atau ketidakpatuhan spesifikasi perlu ditangani secara profesional dan berasaskan fakta yang disahkan bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap organisasi.

Pengurusan risiko integriti turut ditekankan sebagai komponen penting dalam memperkukuh tadbir urus. Setiap risiko yang dikenal pasti perlu dianalisis dari sudut impak terhadap kewangan, reputasi dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan. Pelaksanaan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) hendaklah disertakan pelan mitigasi yang jelas, tempoh pelaksanaan yang realistik dan pemantauan yang konsisten.

Aspek pematuhan dan audit pencegahan juga diberi penekanan, dengan Unit Integriti berperanan sebagai pemudah cara dalam menyebarluaskan pekeliling, garis panduan dan tatacara semasa kepada seluruh warga organisasi. Pendekatan pendidikan dan hebahan dalaman secara berstruktur dilihat mampu meningkatkan kefahaman serta mengurangkan ketidakpatuhan akibat salah tafsir atau kurang kesedaran.

Selain itu, mekanisme aduan yang telus, mudah diakses dan dilindungi daripada sebarang tindakan balas perlu diperkukuh. Setiap aduan hendaklah dikendalikan secara profesional, mematuhi prinsip keadilan asasi serta memastikan perlindungan terhadap pemberi maklumat. Peranan Ombudsman dalam menangani isu maladministration seperti kelewatan tidak munasabah dan keputusan tidak adil turut menjadi elemen penting dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap dan adil kepada rakyat.

Dalam masa yang sama, Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) digesa terus memperkukuh kompetensi dan citra diri sebagai penasihat tadbir urus yang berwibawa. Pembangunan kapasiti perlu merangkumi peningkatan pengetahuan, kemahiran serta pengukuhan nilai dan etika profesional. CeIO di peringkat agensi juga perlu memainkan peranan sebagai penggerak utama agenda integriti agar budaya integriti diterjemahkan dalam tindakan harian organisasi.

Mesyuarat KUI Bil.1/2026 menjadi platform penyelarasan strategik yang signifikan dalam usaha memperkukuh sistem tadbir urus, meningkatkan akauntabiliti dan memelihara keyakinan rakyat terhadap institusi awam. Komitmen kolektif semua Ketua Unit Integriti dilihat sebagai faktor utama dalam memastikan agenda integriti dilaksanakan secara konsisten, berimpak dan mampan.

integriti01

integriti01

integriti01