SIBU, 7 Mac 2026 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) Bahagian Sibu telah menyertai Program Lan Berambeh Sungke Sibu 2026 yang merupakan program tahunan melibatkan penyertaan pelbagai jabatan di Sibu sebagai usaha mengimarahkan bulan Ramadan.
Program yang berlangsung pada 7 Mac 2026 ini bertemakan “Ramadan Penuh Berkat” dengan dua pengisian utama iaitu pengagihan makanan berbuka puasa kepada orang awam serta penyertaan wakil jabatan dalam Majlis Khatam Al-Quran.
Penganjuran program ini bertujuan memupuk semangat kebersamaan melalui pengukuhan silaturahim antara warga jabatan dan masyarakat setempat. Selain itu, program ini turut menzahirkan keprihatinan melalui aktiviti kebajikan dengan membantu orang awam, khususnya golongan musafir dan yang memerlukan, mendapatkan juadah berbuka puasa di samping menghidupkan pengisian rohani melalui Majlis Khatam Al-Quran sempena Ramadan.
JKSS Bahagian Sibu yang diketuai oleh Tuan Haji Idris bin Haji Abdul Kadir telah menyediakan juadah berbuka puasa berupa Nasi Briyani sebanyak 500 pek untuk diagihkan kepada orang ramai. Proses pengagihan berjalan lancar dan mendapat sambutan baik daripada masyarakat setempat yang menzahirkan penghargaan atas usaha yang dilaksanakan.
Program kemudiannya diteruskan dengan Majlis Khatam Al-Quran yang melibatkan wakil-wakil jabatan bagi memperdengarkan bacaan ayat suci Al-Quran sebelum acara berbuka puasa bermula. JKSS Bahagian Sibu telah diwakili oleh Tuan Abdul Rahman bin Mohamad Shokri, Pegawai Bahagian Sokongan Keluarga (BSK).
Secara keseluruhannya, Program Lan Berambeh Sungke Sibu 2026 telah berjaya mencapai objektif penganjurannya. Aktiviti pengagihan makanan telah membantu memudahkan orang awam berbuka puasa, manakala penyertaan dalam Majlis Khatam Al-Quran turut memberi pengisian kerohanian yang bermakna sepanjang bulan Ramadan.
Galeri Gambar