SRI AMAN, 10 Mac 2026 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) Bahagian Sri Aman telah menganjurkan Majlis Khatamal Quran dan Iftar Jamaie sempena bulan Ramadan 1447H yang berlangsung di Dewan Mahkamah Syariah Bahagian Sri Aman.
Penganjuran majlis ini bertujuan meraikan para peserta yang telah menamatkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran sepanjang Ramadan di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga pejabat. Program ini juga diadakan sebagai usaha menggalakkan budaya membaca dan menghayati al-Quran serta menyemarakkan pengisian aktiviti kerohanian sepanjang bulan Ramadan.
Majlis tersebut melibatkan penyertaan seramai 10 orang kakitangan JKSS Bahagian Sri Aman. Program dimulakan dengan bacaan doa sebelum diteruskan dengan bacaan surah-surah terakhir al-Quran secara beramai-ramai sebagai simbolik khatam al-Quran. Majlis turut diserikan dengan penyampaian cenderahati kepada para peserta yang terlibat.
Program kemudiannya diteruskan dengan majlis iftar bersama yang berlangsung dalam suasana penuh sederhana dan harmoni.
Secara keseluruhannya, penganjuran majlis ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan serta diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuhkan semangat kerjasama dan memupuk kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan warga jabatan.
Galeri Gambar