Berita

 

Majlis Khatam Al-Quran Dan Iftar Jamaie: Cahaya Ramadan 1447h/2026

Disiarkan pada 12 Mar 2026
Sumber Berita: Disediakan oleh Puan Sh. Aisyah Farhanah binti Syed Mohamad
SIBU, 10 Mac – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak Bahagian Sibu telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Jamaie: Cahaya Ramadan 1447H/2026 pada 10 Mac 2026 bertempat di Aras 2, JKSS Bahagian Sibu.

Majlis yang bermula pada jam 5.00 petang ini diadakan bersempena bulan Ramadan bagi mengimarahkan lagi bulan yang penuh keberkatan. Program tersebut turut dihadiri oleh Ketua Bahagian JKSS Sibu, Tuan Idris bin Haji Abdul Kadir, bersama kakitangan JKSS Sibu serta ahli keluarga masing-masing sekali gus memeriahkan suasana majlis.

Antara pengisian utama majlis ialah Majlis Khatam Al-Quran, ceramah Ramadan bertajuk “ Cahaya Ramadan: Menyemai Iman, Menuai Taqwa ” yang disampaikan oleh Ustaz Wan Nazarul bin Wan Abdul Latip, serta majlis berbuka puasa secara berjemaah.

Penganjuran program ini bertujuan untuk menghayati Ramadan sebagai bulan Al-Quran di samping menggalakkan warga kerja JKSS Sibu untuk terus mendalami serta membudayakan amalan membaca Al-Quran dalam kehidupan seharian.

Selain itu, majlis ini turut menjadi platform untuk mengeratkan ukhuwah dan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan kakitangan JKSS Sibu serta ahli keluarga melalui aktiviti keagamaan dan majlis berbuka puasa secara bersama.

Majlis berlangsung dalam suasana sederhana namun meriah dengan penglibatan kakitangan yang membawa pelbagai juadah secara potluck bagi memeriahkan lagi majlis berbuka puasa tersebut.

Diharapkan penganjuran program seumpama ini dapat memberi impak positif kepada warga JKSS Sibu serta terus menyemarakkan kecintaan terhadap Al-Quran khususnya sepanjang bulan Ramadan yang penuh barakah.

sibu

Galeri Gambar