Berita

 

Majlis Khatam Al-Quran JKSS Miri Eratkan Ukhuwah Warga Kerja

Disiarkan pada 16 Mar 2026
Sumber Berita: Disediakan oleh Puan Nurulhuda Sofia binti Morsalin
Miri, 13 Mac – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) Bahagian Miri telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran pada Jumaat, 13 Mac 2026 sebagai salah satu pengisian program tahunan sempena bulan Ramadan.

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh keberkatan itu telah disertai seramai 26 orang kakitangan JKSS Miri. Setiap peserta telah membaca surah yang diagihkan bagi memastikan kelancaran program khatam Al-Quran tersebut.

Menariknya, majlis ini turut mengekalkan tradisi lama dengan penyediaan pulut kuning dan telur rebus sebagai hidangan simbolik, yang mencerminkan warisan amalan terdahulu serta semangat kebersamaan dalam kalangan warga jabatan.

Majlis kemudiannya ditangguhkan dengan ucapan penutup oleh Yang Arif Tuan Rosidi bin Masli, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Zon Utara merangkap Ketua Bahagian JKSS Miri. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan atas komitmen warga kerja dalam menjayakan program keagamaan yang dapat memupuk nilai ukhuwah dan kerohanian.

Sebagai penutup acara, turut diadakan penyerahan Duit Raya kepada semua kakitangan sebagai simbolik sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang, sekali gus menyemarakkan lagi semangat kekeluargaan dalam organisasi. Majlis juga diteruskan dengan sesi Ikrar Anti Rasuah yang mencerminkan keseriusan penjawat awam dalam mematuhi amalan integriti di dalam perkhidmatan.

Majlis ini diharap dapat diteruskan sebagai tradisi tahunan dalam memperkukuh hubungan silaturahim serta menyemai budaya kerja yang seimbang antara tuntutan duniawi dan ukhrawi dan juga integriti dalam kalangan kakitangan JKSS Miri.

miri

Galeri Gambar