MUKAH, 16 Mac 2026 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) Bahagian Mukah telah menganjurkan Program Pengagihan Bubur Lambuk Tahun 2026M/1447H sebagai salah satu inisiatif mengimarahkan bulan Ramadan melalui amalan kebajikan dan sedekah.
Program dimulakan seawal jam 9.00 pagi dengan aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk yang melibatkan warga kerja JKSS, diikuti dengan proses pembungkusan juadah untuk diagihkan kepada orang awam.
Pengagihan bubur lambuk telah berlangsung pada jam 3.30 petang di simpang masuk utama Bangunan Pejabat dengan sasaran masyarakat sekitar bandar Mukah sebagai penerima. Sebanyak 300 pek bubur lambuk telah diagihkan sebagai usaha berkongsi rezeki serta menyantuni masyarakat, selaras dengan tuntutan memberi makan kepada orang berpuasa seperti yang dianjurkan dalam Islam.
Penganjuran program ini turut bertujuan membentuk warga kerja yang berhemah, beriman dan bertaqwa, di samping meningkatkan kesedaran tentang kelebihan bersedekah serta penghayatan Ramadan dalam kalangan masyarakat.
Program ini mencerminkan komitmen JKSS dalam memperkukuh nilai kebajikan dan keprihatinan sosial serta mendekatkan jabatan dengan komuniti setempat.
Galeri Gambar