Sibu, 9 April 2026 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak Bahagian Sibu telah berjaya menganjurkan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 1447H/2026M yang berlangsung dengan meriah di Bilik Mesyuarat Aras 2, JKSS Sibu.
Majlis yang diadakan bermula jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini telah menghimpunkan warga kerja JKSS Sibu bersama ketua jabatan serta kakitangan daripada agensi-agensi di Kompleks Islam Sarawak, Sibu.
Penganjuran program ini bertujuan untuk menghayati bulan Syawal, memupuk nilai kemaafan serta mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan kakitangan di semua peringkat. Selain itu, majlis ini turut menjadi platform bagi berkongsi kegembiraan suasana hari raya dalam suasana santai dan harmoni.
Antara pengisian menarik sepanjang majlis termasuk sesi bergambar, pertandingan kad raya nostalgia, pertandingan pakaian raya tercantik dan tersegak, sesi pemberian duit angpau, jamuan hari raya serta persembahan lagu-lagu raya yang menambahkan lagi kemeriahan suasana.
Secara keseluruhannya, majlis ini berjaya mencapai objektif penganjurannya dalam memperkukuh ukhuwah, memupuk semangat kerjasama serta mewujudkan suasana kekeluargaan dalam kalangan warga JKSS Sibu.
