KUCHING, 13 April 2026 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) telah menganjurkan Program Latihan Pemahaman Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015 dan MS 1900:2025 Berasaskan Syariah pada 13 April 2026 bertempat di Bilik Seminar, Ibu Pejabat JKSS.
Program yang melibatkan kehadiran sekitar 52 orang peserta ini disertai oleh semua ketua bahagian serta pegawai-pegawai baharu JKSS. Penganjuran latihan ini bertujuan memberi pendedahan dan pemahaman yang menyeluruh kepada para peserta berhubung pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti di peringkat bahagian, selaras dengan keperluan standard ISO 9001:2015 dan MS 1900:2025 berasaskan Syariah.
Selain meningkatkan kefahaman terhadap pelaksanaan sistem, program ini turut memberi penekanan kepada kesedaran mengenai versi baharu MS 1900:2025, khususnya dalam memastikan aspek tadbir urus, pematuhan prosedur dan nilai-nilai Syariah terus diperkasakan dalam penyampaian perkhidmatan jabatan.
Penganjuran program ini juga adalah selaras dengan hasrat jabatan untuk memperluaskan skop pelaksanaan sistem pengurusan kualiti ke semua bahagian di seluruh Sarawak. Sebelum ini, pelaksanaan sistem tertumpu di Ibu Pejabat JKSS dan Bahagian Kuching sahaja. Susulan latihan ini, jabatan merancang untuk memperluaskan pelaksanaannya secara menyeluruh ke seluruh negeri Sarawak.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen JKSS dalam memperkukuh budaya kerja berkualiti, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memastikan pengurusan organisasi sentiasa memenuhi standard kualiti dan prinsip Syariah yang ditetapkan.
