KUCHING, 17 April 2026 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) telah menganjurkan Majlis Kesyukuran Aidilfitri JKSS 2026M / 1447H bertempat di Perkarangan Bangunan JKSS, Jalan Satok, Kuching sebagai acara penutup sambutan Syawal bagi tahun ini dalam suasana penuh harmoni dan kemeriahan.
Majlis bermula seawal jam 8.30 pagi dengan ketibaan jemputan, diikuti ketibaan Ketua Jabatan pada jam 9.00 pagi serta disusuli ketibaan Tetamu Kehormat pada jam 9.30 pagi. Kehadiran tetamu yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, rakan strategik serta warga kerja JKSS telah memeriahkan lagi majlis dalam suasana mesra dan penuh ukhuwah.
Penganjuran majlis ini menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara warga jabatan dan para jemputan, di samping menyemarakkan semangat kebersamaan dalam perkhidmatan awam. Majlis ini turut mencerminkan komitmen JKSS dalam memupuk nilai kekitaan serta memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara agensi.
Sebagai penutup tirai Syawal, majlis ini membawa makna tersendiri dalam menyatukan warga kerja JKSS dan rakan kolaborasi dalam suasana penuh kesyukuran, sekali gus menjadi pemangkin kepada semangat kerja berpasukan yang lebih utuh dalam meneruskan perkhidmatan kepada masyarakat.
