SIBU, 17 April 2026 – Majlis Berlanggar Meja Aidilfitri anjuran MAKSAK Bahagian Sibu telah berlangsung dengan meriah pada jam 6.30 petang bertempat di Sri Sibu, Kediaman Rasmi Residen Bahagian Sibu.
Majlis ini dianjurkan dengan kerjasama Tuan Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan bin Abang Bidiman selaku Pengerusi Penganjur, dengan penglibatan sebanyak 13 agensi dan jabatan kerajaan yang membuka gerai masing-masing serta menyajikan pelbagai juadah Aidilfitri merangkumi hidangan tradisional dan moden.
Selain menikmati hidangan yang disediakan, para pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan tarian, karaoke, pertandingan busana raya terbaik serta cabutan bertuah yang menambahkan lagi kemeriahan suasana majlis.
Penganjuran majlis ini bukan sahaja menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga perkhidmatan awam, malah turut memperkukuh hubungan kerjasama antara agensi di Bahagian Sibu dalam suasana penuh harmoni dan muhibah sempena sambutan Aidilfitri.
