KUCHING, 22 April 2026 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) telah menganjurkan Kursus Induksi Khusus JKSS 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula 21 hingga 22 April 2026, bertujuan memperkukuh kefahaman serta membentuk keperibadian pegawai dalam perkhidmatan awam Negeri Sarawak.
Kursus ini telah disertai oleh seramai 19 orang pegawai yang terdiri daripada kakitangan baharu JKSS. Penganjuran kursus ini merupakan inisiatif jabatan dalam memastikan setiap pegawai memperoleh pendedahan awal yang menyeluruh terhadap sistem pentadbiran serta budaya kerja organisasi.
Antara objektif utama kursus ini adalah untuk memberi pendedahan berkaitan sistem pentadbiran, prosedur-prosedur utama, arahan-arahan dan pekeliling serta panduan-panduan yang berkuat kuasa dalam perkhidmatan awam Negeri Sarawak. Selain itu, kursus ini turut memberi penekanan kepada pembentukan keperibadian, jati diri serta penerapan nilai patriotisme dalam kalangan pegawai.
Sepanjang kursus berlangsung, para peserta telah mengikuti pelbagai sesi taklimat dan perkongsian ilmu yang merangkumi aspek pengurusan organisasi, etika kerja, serta pematuhan kepada peraturan dan garis panduan yang ditetapkan. Program ini diharap dapat melahirkan pegawai yang lebih berketerampilan, berintegriti serta berkeupayaan menyesuaikan diri dalam persekitaran kerja sektor awam.
Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen berterusan JKSS dalam melahirkan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi perkhidmatan awam Negeri Sarawak.
