KUCHING, 24 April 2026 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak telah melaksanakan Audit Dalam Pelaksanaan Sistem I-Syariah 2026 yang berlangsung selama lima hari bermula 20 hingga 24 April 2026, melibatkan seramai 12 orang auditor dari Ibu Pejabat.
Audit ini bertujuan untuk menilai tahap penggunaan Sistem I-Syariah agar selaras dengan kehendak jabatan di samping memastikan keberkesanan pelaksanaannya dalam menyokong penyampaian perkhidmatan kehakiman syariah yang lebih efisien dan sistematik.
Selain itu, audit ini turut memberi fokus kepada penilaian keupayaan infrastruktur ICT termasuk aspek perkakasan, perisian, aplikasi serta kompetensi sumber manusia dalam mengendalikan sistem berkenaan. Usaha ini penting bagi memastikan kesiapsiagaan jabatan dalam mendepani keperluan pendigitalan perkhidmatan.
Dalam masa yang sama, audit ini juga bertujuan mengenal pasti serta menilai risiko-risiko yang berpotensi menghalang pencapaian objektif pembangunan dan pelaksanaan sistem I-Syariah. Pendekatan ini membolehkan langkah penambahbaikan dirancang secara lebih proaktif dan berkesan.
Penilaian turut merangkumi aspek integriti data melalui penggunaan sistem I-Syariah dengan berpandukan prinsip keselamatan dan privasi data pengguna, selaras dengan amalan tadbir urus ICT yang baik.
Pelaksanaan audit dalaman ini mencerminkan komitmen berterusan JKSS dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan berasaskan teknologi, seterusnya meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi kehakiman syariah di Sarawak.
Galeri Foto