KUCHING, 30 April 2026 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) telah menyertai Mini Convention Innovative and Creative Circle (ICC) Peringkat Jabatan Premier Sarawak 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula 27 hingga 30 April 2026.
Dalam konvensyen ini, JKSS diwakili oleh Kumpulan D.A.S (Decide. Act. Succeed), sekali gus menandakan penyertaan semula jabatan selepas kali terakhir mengambil bahagian lebih 10 tahun yang lalu. Penyertaan ini mencerminkan komitmen berterusan JKSS dalam membudayakan inovasi serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Penganjuran konvensyen ini bertujuan untuk melestarikan budaya inovatif dalam kalangan penjawat awam di samping menyediakan platform untuk peserta menggilap kebolehan, keupayaan serta meningkatkan kompetensi diri dalam bidang inovasi. Selain itu, konvensyen ini turut memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada penjawat awam atas penghasilan projek inovasi yang berimpak tinggi.
Program ini juga berperanan sebagai medium untuk mengenal pasti projek-projek inovasi yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat akhir Sarawak Civil Service Innovation Convention Awards (SCISCA).
Konvensyen ini telah menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai jabatan di bawah Jabatan Premier Sarawak, sekali gus mewujudkan suasana persaingan sihat dan perkongsian idea kreatif dalam kalangan peserta.
Adalah diharapkan agar penyertaan JKSS dalam konvensyen ini dapat terus memperkukuh budaya inovasi dalam organisasi serta menyokong usaha mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam di Sarawak.
