SARIKEI, 7 Mei 2026 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) Bahagian Sarikei telah menerima kunjungan lawatan sambil belajar daripada Tingkatan 5 Kelas Aliran Agama (KAA) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sarikei Baru yang terdiri dari seramai 27 orang murid bersama dua orang guru pengiring pada jam 8.00 pagi hari ini.
Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai struktur dan fungsi Mahkamah Syariah di seluruh Sarawak. Sepanjang program, para peserta telah diberikan taklimat berkaitan peranan JKSS serta penerangan mengenai bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah dalam mengendalikan kes-kes berkaitan.
Selain itu, para pelajar turut berpeluang menyaksikan sendiri situasi sebenar prosiding mahkamah syariah, sekali gus memberikan gambaran yang lebih jelas tentang perjalanan kes di mahkamah.
Program ini diharap dapat meningkatkan kefahaman dan minat para pelajar terhadap sistem perundangan syariah serta membuka minda mereka mengenai peranan institusi kehakiman dalam masyarakat.
