KUCHING, Mei 2026 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) telah menganjurkan dua siri bengkel berkaitan ISO/IEC 27001:2022 bagi memperkukuhkan pelaksanaan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (Information Security Management System – ISMS) dalam organisasi.
Bengkel pertama iaitu Bengkel Penyediaan dan Semakan Dokumen Manual ISO/IEC 27001:2022 telah diadakan pada 13 hingga 15 Mei 2026 bertempat di Ibu Pejabat JKSS. Bengkel ini dikendalikan oleh Encik Khalid bin Libar daripada SIRIM yang berkongsi pengetahuan, panduan serta pengalaman berkaitan penyediaan dan semakan dokumentasi ISMS. Antara fokus utama termasuk penyediaan dasar keselamatan maklumat, prosedur kerja, penilaian risiko, pelan rawatan risiko serta Statement of Applicability (SoA).
Program ini turut diserikan dengan kehadiran wakil daripada SMA, SCSDU dan SAINS Sarawak sebagai tetamu jemputan, mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuhkan tadbir urus keselamatan maklumat serta menyokong agenda transformasi digital sektor awam.
Seterusnya, Bengkel Pengurusan dan Penilaian Risiko ISO/IEC 27001:2022 ISMS telah diadakan pada 21 hingga 22 Mei 2026 di lokasi yang sama dengan memberi penekanan khusus terhadap aspek pengurusan dan penilaian risiko keselamatan maklumat. Peserta didedahkan kepada kaedah mengenal pasti aset, ancaman dan kelemahan, seterusnya menilai tahap risiko serta menyediakan Risk Assessment dan Risk Treatment Plan selaras dengan keperluan standard.
Sepanjang kedua-dua bengkel berlangsung, peserta terlibat secara aktif dalam sesi perbincangan, semakan serta penambahbaikan dokumen dan penilaian risiko secara berkumpulan. Pendekatan ini memastikan setiap dokumen dan risiko yang dikenal pasti dapat ditangani dengan lebih sistematik serta mematuhi keperluan ISO/IEC 27001:2022, termasuk semakan kawalan keselamatan berdasarkan Annex A.
Penganjuran kedua-dua bengkel ini diharap dapat meningkatkan tahap keselamatan maklumat organisasi, mengurangkan risiko keselamatan siber serta memperkukuhkan tadbir urus ICT secara lebih cekap, tersusun dan berkesan selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.
