Berita

 

CERAMAH PENGHAYATAN QURBAN DAN PROGRAM IBADAH QURBAN PERKUKUH NILAI PENGORBANAN DAN UKHUWAH

Disiarkan pada 29 May 2026
Sumber Berita: Disediakan oleh Encik Syed Muhd Haris Bin Wan Hassan
KUCHING, 28 Mei 2026 (11 Zulhijjah 1446H) – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) melalui Kelab Kebajikan dan Rekreasi JKSS dengan kerjasama Unit Komunikasi Korporat JKSS telah menganjurkan Ceramah Penghayatan Qurban dan Program Ibadah Qurban sebagai pengisian sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Program ini telah dirasmikan oleh Yang Arif Tuan Haji Mahiden bin Sah, Hakim Mahkamah Tinggi disaksikan oleh Tuan Imrah bin Taha, Pengerusi Kelab Kebajikan Rekreasi JKSS serta barisan pegawai-pegawai di ibu pejabat dan penerima agihan daging kurban serta wakil-wakil dari golongan asnaf dan masyarakat setempat.

Program ini bertujuan sebagai tanda ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT di samping menyemai semangat pengorbanan dalam kalangan warga kerja. Selain itu, penganjuran program ini turut berperanan dalam mengukuhkan ukhuwah antara kakitangan serta masyarakat setempat.

Ceramah yang disampaikan oleh Tuan Norhafizie bin Kamil, Hakim Syarie JKSS Betong, memberi pendedahan kepada para peserta mengenai hikmah dan kelebihan ibadah qurban, termasuk kepentingan memupuk sifat ikhlas dan taqwa dalam setiap amalan. Program ini juga menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab sosial melalui amalan berkongsi rezeki.

Peserta program terdiri daripada ahli Kelab Kebajikan dan Rekreasi JKSS sendiri serta kakitangan JKSS yang bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan ibadah qurban tersebut.

Daging qurban yang diperoleh telah diagihkan kepada golongan asnaf di sekitar kawasan Kuching serta penduduk di perumahan dan kampung terpilih, selaras dengan objektif untuk membantu mereka yang memerlukan.

Penganjuran program seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai salah satu usaha berterusan dalam memperkukuh nilai-nilai murni, semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan warga JKSS.

#Aidiladha1447H
#islamamalanhidup
#ertipengorbanan

qurban

qurban

qurban

qurban