Betong, 22 Jun 2026 – JKSS Bahagian Betong telah menerima lawatan sambil belajar daripada 24 orang pelajar Tingkatan 5 Maktab Rendah Sains MARA Betong bersama empat orang guru pengiring.
Lawatan tersebut bertujuan memberikan pendedahan awal kepada para pelajar mengenai struktur organisasi, fungsi serta bidang kuasa Mahkamah Syariah di samping meningkatkan pemahaman mereka terhadap sistem perundangan syariah di Sarawak.
Sepanjang lawatan, para pelajar telah mengikuti sesi taklimat berkaitan peranan dan fungsi Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS), menyaksikan prosiding mahkamah sebenar serta menyertai sesi soal jawab yang memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan undang-undang syariah dan operasi Mahkamah Syariah.
Program seumpama ini bukan sahaja memberi pengalaman pembelajaran secara langsung kepada para pelajar, malah membantu meningkatkan kesedaran dan kefahaman mereka terhadap institusi kehakiman syariah serta peranannya dalam sistem perundangan negara.
Pihak MRSM Betong turut menzahirkan penghargaan kepada JKSS Bahagian Betong atas kesudian menerima lawatan tersebut dan berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memberi pendedahan serta menambah pengetahuan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM.
