Berita

 

ZIARAH MAHABBAH MIS 2026: SEMINAR KEFAHAMAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM SARAWAK TINGKAT KESEDARAN MASYARAKAT DI LUNDU

Disiarkan pada 09 Jul 2026
Sumber Berita: Disediakan oleh Encik Syed Haris bin Wan Hassan
LUNDU, 8 Julai 2026 – Berteraskan tema “Ummah Maju Makmur”, Seminar Kefahaman Undang-Undang Keluarga Islam Sarawak telah dianjurkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) dengan penganjuran bersama Majlis Islam Sarawak (MIS) bersempena Program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak 2026 Zon Selatan di Dewan Mahligai Gading, Lundu. Seminar ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai Undang-Undang Keluarga Islam, pengurusan harta pusaka orang Islam serta perkhidmatan yang disediakan oleh agensi-agensi berkaitan.  

Seminar tersebut telah menghimpunkan seramai 179 orang peserta yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat, ketua masyarakat, ketua kaum serta orang awam sekitar Daerah Lundu.  

Program dimulakan dengan ceramah bertajuk “Pembubaran Perkahwinan dan Hak-Hak Selepas Perkahwinan” yang disampaikan oleh Puan Athirah binti Morni, Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Kuching. Sesi tersebut memberi penerangan kepada para peserta mengenai tatacara pembubaran perkahwinan mengikut undang-undang serta hak-hak yang diperuntukkan kepada pasangan selepas perceraian.  

Seterusnya, peserta mengikuti Forum Syariah Perdana: Pengurusan Harta Pusaka Orang Islam yang membariskan Yang Arif Tuan Haji Mahiden bin Haji Sah, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Sarawak, Tuan Zulkarnain bin Ismail, Pegawai Daerah Lundu dan Puan Nururraihan binti Mohamad Abdillah, Pegawai Pendaftar Jabatan Tanah dan Survei Kuching sebagai panel. Forum yang dikendalikan oleh Tuan Mohammad Zubair bin Mustafa itu membincangkan aspek perundangan, pentadbiran serta pengurusan harta pusaka bagi membantu masyarakat memahami proses yang betul dalam pengurusan harta orang Islam.  

Sepanjang program berlangsung, pelbagai reruai pameran dan kaunter khidmat nasihat turut disediakan melibatkan Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS), Jabatan Bantuan Guaman (JBG), Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Pejabat Daerah Lundu, Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) serta Amanah Saham Bumiputera Nasional (ASBN). Orang ramai berpeluang mendapatkan khidmat nasihat berkaitan perceraian, nafkah, hak penjagaan anak, Sulh, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), faraid, hibah, wasiat, pengurusan pusaka dan urusan tanah secara terus daripada pegawai agensi yang terlibat.  

Majlis penangguhan telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Azizul Annuar bin Pehin Sri Haji Adenan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.03 Tanjong Datu. Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan bakul makanan kepada 50 orang penerima yang terdiri daripada golongan asnaf dan keluarga yang memerlukan di sekitar Daerah Lundu. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Yang Berhormat sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan Program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak 2026.  

Penganjuran seminar ini mencerminkan komitmen JKSS dan MIS dalam memperluaskan penyampaian maklumat perundangan Syariah kepada masyarakat, selaras dengan aspirasi Program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak 2026 yang bertujuan mendekati masyarakat melalui penyampaian ilmu, khidmat nasihat dan kebajikan. Melalui pengisian ilmiah, forum interaktif, khidmat nasihat serta kerjasama strategik pelbagai agensi, program ini diharap dapat melahirkan masyarakat yang lebih celik undang-undang serta memahami hak dan tanggungjawab menurut syarak demi kesejahteraan institusi keluarga Islam di Sarawak.

jkss

jkss

jkss

jkss