KUCHING, 10 Julai 2026 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) telah menerima lawatan penanda aras daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) yang diketuai oleh Sr. Haji Rozlan bin Haji Putit, Timbalan Pengarah JTS Sarawak, bertempat di Ibu Pejabat JKSS.
Lawatan ini bertujuan untuk mengenali, memahami dan mendalami pelaksanaan Sarawak Civil Service Environmental Standard (SACSES) yang merupakan salah satu elemen penting dalam Sarawak Civil Service (SCS) ke arah memperkukuh amalan tadbir urus dan kelestarian organisasi.
Delegasi JTS Sarawak telah disambut oleh Yang Arif Tuan Haji Najarudin bin Haji Nedri, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang mewakili Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie Sarawak. Sesi lawatan turut melibatkan perkongsian maklumat, pembentangan serta sesi interaksi dua hala berkaitan amalan terbaik dan pendekatan pelaksanaan standard persekitaran dalam perkhidmatan awam.
Program ini telah disertai oleh seramai 33 orang pegawai dan kakitangan daripada JTS Sarawak, manakala penyertaan keseluruhan termasuk warga JKSS adalah seramai 60 orang.
Penganjuran lawatan penanda aras ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua agensi dalam memperkukuh kefahaman serta pelaksanaan standard persekitaran yang mampan, selaras dengan aspirasi Sarawak Civil Service ke arah penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, berintegriti dan berdaya saing.
